Pendirian ulama Islam tentang Syiah


Pendirian ulama Islam tentang Syiah

Ismail Mina Ahmad

BAHAGIAN AKHIR

SEPANJANG sejarah Islam, bermula dari zaman Saidina Ali RA lagi, firqah atau golongan

Syiah yang menolak Mushaf Uthman dan mengkafirkan Sahabat dan Ummahatul Mukminin,

telah dihukum kafir. Imam Abi Muzaffar al-Isfarayni dalam Tabsir fi d- Din-nya telah

memberi fatwa, bahawa orang yang solat di belakang penganut Syiah yang iktikad mereka

seperti ini, wajib mengulangi solatnya. Khomeini ialah antara orang yang mengkafirkan

Sahabat!

Untuk makluman, semua ulama dunia Islam dari Maghribi, Turki, hingga Indonesia, menolak

Syiah. Mereka termasuklah Said Hawwa, Syed Abu Hasan Ali an-Nadvi, Syed Muhammad

al-Maliki, Yusuf Qaradhawi, Habib Umar dan seluruh ulama Hadramawt, ulama Lucknow

dan seluruh ulama benua kecil India, ulama al-Azhar dan banyak lagi.

SYIAH DI MALAYSIA

Perkembangan Syiah di Malaysia amat membimbangkan. Ini adalah kerana mereka

mempunyai sumber kewangan yang kukuh, rangkaian antarabangsa serta mendapat sokongan

dan pembelaan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik tempatan.

Dari segi kewangan, mereka berjaya membina pelbagai jenis perniagaan dengan rangkaian

yang banyak dan besar. Mereka mempunyai perniagaan strategik dengan memiliki restoran

dan menjadi pengeluar serta pengedar barangan makanan dan minuman serta produk

kesihatan. Jenis perniagaan ini berkaitan dengan orang ramai secara langsung. Ini adalah

mekanisme yang baik untuk menyebarluaskan dakyah mereka.

Dalam suatu perhimpunan Bersih, mereka pernah mengagihkan air mineral keluaran mereka

secara percuma kepada para demonstran. Mereka juga mempunyai rangkaian pendidikan dan

tadika yang banyak serta pusat-pusat penyebaran ajaran mereka dengan pelbagai nama di

pelbagai tempat.

Mengenai rangkaian antarabangsa pula, mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat

dengan Syiah di Iran. Syiah Iran membantu mereka membina rangkaian perniagaan dan

membekalkan literatur serta pendakyah di sini. Dari segi politik pula mereka mempunyai

hubungan erat dengan sebuah parti politik Syiah terbesar di Lebanon yang radikal.

Sementara itu dalam negara ini pula, mereka mendapat sokongan, pembelaan dan

perlindungan daripada beberapa NGO Islam serta parti politik.

Ini ditambah pula dengan kedatangan mulah-mulah Syiah bertali arus dijemput menghadiri

wacana-wacana dan perjumpaan-perjumpaan sulit dengan kumpulan mereka, selain daripada

kebanjiran pelajar-pelajar Syiah di pusat-pusat pengajian tinggi.

Perlu kita fahami, Syiah seperti juga gerakan Zionis-Kristian, berusaha menguasai parti

politik dan NGO Islam yang berpengaruh. Mereka pandai menyusun strategi dengan

menjadikan aktivis ini sebagai anak catur mereka dalam rangka menguasai organisasi

tersebut.

Strategi ini agak menjadi, walaupun belum berjaya sepenuhnya. Pada suatu ketika, mereka

berjaya menguasai sebuah persatuan ulama di Malaysia. Dan kini mereka berjaya meletakkan

orang mereka dalam sebuah parti politik sehingga memegang jawatan penting.

Kepada pengagum dan pengusung Syiah dan Khomeini di Malaysia, mereka perlu tahu sikap

sebenar beliau kepada Ahli Sunnah wal Jamaah. Khomeini telah mengkhianati Mufti Ahmad

Zadeh, rakan seperjuangannya semasa menjatuhkan Shah Iran dahulu. Selepas berjaya

menjatuhkannya, Shah telah dipenjara oleh Khomeini. Beliau jatuh sakit di dalam penjara

tanpa rawatan secukupnya.

Apabila kesihatan beliau semakin teruk, beliau dipindah dari penjara besi ke penjara rumah

pula dan tidak dibenarkan berubat ke luar negara. Kenapa? Kerana Mufti Zadeh seorang

Sunni! Banyak juga imam masjid dan pendakwah Islam Sunni terpaksa lari ke Pakistan

semasa pemerintahan Khomeini.

PENUTUP

Ajaran Syiah benar-benar meruntuhkan ajaran Islam kerana mereka menghalalkan yang

haram seperti nikah mutaah, solat jamak sepanjang masa dan paling parah ialah menolak

Quran Mushaf Uthman dan Hadis Nabi yang menjadi sumber dalam hukum-hakam Islam.

Apa akan terjadi? Islam jenis ini bukan agama Islam lagi!

Kaedah mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Justeru untuk membendung penularan

virus Syiah dalam kalangan masyarakat Ahli Sunnah wal Jamaah di negara kita, umat Islam

perlu mendalami dan memperkemaskan serta memperkasakan akidah dan syariat mereka.

Mereka perlu mempelajari kitab-kitab muktabar dalam subjek Usuluddin- Aqidah-Tauhid

dan juga Hukum hakam Fiqah. Ilmu-ilmu ini akan dapat menjadi neraca dan kayu pengukur

dalam menyuluh kebatilan ajaran Syiah itu.

Selain daripada menekuni dan memantapkan ilmu-ilmu dalam wacana Ahli Sunnah wal

Jamaah, usaha-usaha pencegahan melalui undang-undang dan peraturan serta tindakan

bersepadu perlu disegerakan.

Pihak berkuasa agama negeri dengan kerjasama pasukan polis perlu melipatgandakan

pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka. Majlis Keselamatan

Negara dan Kementerian Luar Negeri perlu mengawasi kedutaan Iran supaya mereka tidak

menyebarkan buku-buku Syiah kepada masyarakat Islam. Sementara pihak Imigresen pula

perlu menghalang pendakyah-pendakyah Syiah daripada memasuki negara ini. Kementerian

Pendidikan pula patut mengurangkan pengambilan pelajar dari negara Syiah atau dari

kalangan penganut Syiah.

Perkara ini bukan luar biasa, kerana kita pernah melakukan polisi ini ketika Perang Dingin

dahulu yang mana pelajar dari negara-negara Komunis dikenakan tapisan dan sekatan. Selain

itu, kerajaan juga perlu menghalang pelajar kita daripada belajar di pusat-pusat pengajian

Syiah. Ini juga pernah dilakukan oleh kerajaan semasa ancaman Komunis satu ketika dahulu.

Bahkan kerajaan perlu mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri atau yang

setara dengannya. Ini semua adalah mekanisme yang bertujuan untuk memelihara kesucian

ajaran Islam.

Selain itu, untuk membantu mencegah penularan virus Syiah di Malaysia, organisasiorganisasi Islam, baik NGO atau pun politik, patut mengisytiharkan secara terbuka, yang

organisasi mereka menolak ajaran Syiah daripada berkembang di Malaysia sama seperti

mereka menolak fahaman Komunisme.

Mereka juga perlu memastikan yang fahaman Syiah ini tidak ada dalam organisasi mereka.

Jika didapati ahli-ahlinya beramal atau cenderung kepada fahaman Syiah, perlu dicegah

segera dengan mengajar mereka fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar berdasarkan

teks-teks muktabar. Sekiranya mereka masih berdegil tidak mahu kembali kepada ajaran Ahli

Sunnah wal Jamaah, tindakan memecat adalah pilihan paling baik. Pas patut mendahuluinya

dalam perkara ini.

Kita perlu bertegas dan tidak perlu melayan dengan desakan dan asakan puak yang kononnya

memperjuangkan hak kebebasan. Dari satu perspektif, dalam Islam tidak ada kebebasan

mutlak. Diri kita pun bukan milik kita. Perjalanan hidup kita pun ditentukan oleh Allah SWT

seperti cara-cara beramal dan bermuamalah. Kita tidak boleh bersolat atau berpuasa dan lainlain ibadat dengan cara dan kaedah ciptaan kita sendiri.

Dari satu perspektif lain, pada paras individu, kita memang ada kebebasan, tetapi kebebasan

mesti dalam lingkungan dan batas-batas syariat. Seseorang bebas berzikir bersendirian

semahu-mahunya, berinfaq sebanyak-banyaknya dan membaca al-Quran berkali-kali khatam,

tetapi mereka perlu ingat, bahawa mereka tidak boleh menjerit membaca al-Quran dengan

kuat di tengah malam buta semasa orang lain sedang tidur, kerana kebebasan individu tidak

boleh mengatasi kebebasan masyarakat.

Maka dalam konteks perkembangan ajaran Syiah di Malaysia ini, soal hak kebebasan

beragama tidak timbul, kerana mereka menggunakan jenama Islam untuk merosakkan Islam

sama seperti ajaran Qadiyani, Khawarij, Muktazilah, Mujassimah, Karramiyah, Nabi Melayu,

Ayah Pin, pluralis agama dan lain-lain.

Agama Islam ini adalah hak Allah SWT dan manusia hanya menjadi pemegang amanahNya sahaja. Justeru, pemerintah dan setiap individu Muslim wajib melaksanakan amanah

ini dengan memelihara kesucian ajaran Allah SWT dan menyekat aktiviti yang boleh

merosakkannya seperti kita menjaga al-Quran daripada diubah atau dihina oleh seseorang.

Justeru, Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) sebuah organisasi dakwah

Islam, mengambil inisiatif menganjurkan satu program khusus membincangkan mengenai

kesesatan ajaran Syiah dalam Seminar Mendepani Virus Syiah. Seminar sehari ini, akan

berlangsung pada 6 Oktober akan datang, bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala

Lumpur. Insya-Allah.

PENULIS ialah Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat)

http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130730/re_05/Pendirian-ulama-Islam-tentangSyiah

Leave a comment